MIRI – Usaha memperkasa komuniti pedalaman terus diperhebat apabila Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan kerjasama Sakura Ferroalloys Sdn. Bhd. menganjurkan dua majlis penyerahan peralatan perniagaan kepada usahawan tempatan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) COMMUNITY@SCORE.
Majlis berkenaan berlangsung di dua lokasi berasingan iaitu pada 9 April di Bario dan 11 April di Long Lama, Sarawak.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan usahawan luar bandar, terutamanya di kawasan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Penerima bantuan di Bario ialah Anne Mariam Peter dari Kampung Padang Pasir dan Rosemary Sabin dari Kampung Pa Ukat.
Manakala di Long Lama, Nyipa Braim Hoshen dari Kampung Long Sobeng serta Lekeen Eng dari Kampung Sungai Dua menerima sumbangan peralatan bagi memperkukuh operasi perniagaan masing-masing.
Program ini mencerminkan komitmen Sakura Ferroalloys sebagai salah satu pelabur di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi komuniti luar bandar sekali gus membantu menjana impak ekonomi yang lebih luas.
Majlis di Bario disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu.
Sementara itu, majlis di Long Lama dirasmikan oleh Penghulu Desmond Yap yang mewakili ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau.
“Sumbangan sebegini walaupun kelihatan kecil tetapi besar maknanya kepada pembangunan keusahawanan di kawasan pedalaman dan memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat,” kata beliau dalam ucapannya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil Sakura Ferroalloys, Chelsea Kennedy dan Rose Bibi Mawan selain beberapa pemimpin masyarakat dan usahawan tempatan.
Kedua-dua acara itu disempurnakan oleh Pengarah Wilayah HDA, Juan Ubit yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni.
RECODA turut menzahirkan penghargaan kepada Sakura Ferroalloys atas komitmen mereka dalam menyokong inisiatif pembangunan komuniti yang diterajui Unit Pelaburan Swasta RECODA di bawah pimpinan Lulu Law.








