KUCHING- Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) akan meneruskan komitmen mereka dalam mengintegrasi teknologi hijau dalam projek infrastruktur terutama Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Recoda, Datuk Ismawi Ismuni, pembangunan NCH merupakan salah satu projek Recoda yang menghubungkan komuniti serta menyokong integrasi kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau juga menegaskan keutamaan dalam digitalisasi dan AI adalah aksesibiliti melalui pembinaan jalan yang menghubungkan komuniti.
“Lebuh raya sepanjang 88km direka dengan infrastruktur bertingkat yang bertujuan menyokong kelestarian alam semula jadi,” ujar beliau.
Tambah beliau, NCH juga akan mengeratkan hubungan antara Sarawak, Brunei, Sabah dengan Indonesia.
Beliau berkata demikian ketika ucapan bertajuk ‘Pembangunan Lestari Melalui Infrastruktur Hijau’ pada hari kedua Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 yang ke-7 pada Khamis.
Sementara itu, Ismawi juga menegaskan NCH juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan selain menyokong kelestarian alam sekitar.
Recoda akan terus komited memajukan pembangunan kelestarian melalui projek infrastruktur dan program sosioekonomi yang memberi fokus kepada ekonomi hijau.








