
KOTA KINABALU – Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin akan bertanding dalam Pemilihan PKR 2025 untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan bagi sesi 2025 hingga 2028.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat berkata, seperti sedia maklum PKR akan mengadakan pemilihan parti bermula 14 Mac di peringkat cabang dan 3 Mei bagi peringkat MPP.
“Mengambil maklum pandangan dari akar umbi parti serta rakan-rakan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, saya menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan bagi jawatan tersebut.
“Saya harap pemilihan kali ini diadakan dalam suasana kekeluargaan bagi mengelakkan perpecahan, apatah lagi Sabah bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung seawal Julai tahun ini,” katanya melalui hantaran di laman Facebook, pada Sabtu.
Sehubungan itu beliau juga menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal mentadbir negara.
“Saya juga memohon sokongan dan dokongan rakan-rakan anggota parti yang bersama-sama saya untuk terus memperjuangkan agenda reformasi.
“Bagi merealisasikan agenda reformasi yang sedang diusahakan Kerajaan Madani, kita perlu memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia buat penggal kedua dengan PKR yang lebih kuat,” kata beliau.







