
GAZA – Hujan lebat selama dua hari berturut-turut telah menyebabkan ratusan khemah kem pelarian yang berada di Semenanjung Gaza telah dilanda banjir sekaligus menambahkan lagi penderitaan rakyat Gaza ditengah-tengah pengeboman berterusan tentera rejim Israel.
Rakyat Gaza yang berada di khemah tersebut melaporkan bahawa khemah mereka diterbangkan oleh angin kencang yang melanda Gaza sepanjang dua hari lalu, memaksa mereka berdepan dengan kesejukan yang melampau tanpa sebarang perlindungan.
Di kawasan Deir al-Balah dan Mawasi Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, rakyat Gaza mengalami malam yang sangat mencabar di dalam khemah mereka, yang ditenggelami air hujan dan diterbangkan oleh angin, lapor Agensi WAFA.
Cuaca sejuk itu berlaku pada masa yang sama apabila sumber perubatan mengumumkan kematian seorang bayi di Semenanjung Gaza akibat cuaca sejuk dan suhu rendah, menjadikannya mangsa ketujuh yang meninggal dunia akibat kesejukan dan kekurangan pemanasan dalam tempoh kurang daripada seminggu.
Pasukan penyelamat menerima ratusan panggilan kecemasan daripada rakyat Gaza untuk menyelamatkan mereka dan anak-anak mereka, dimana khemah dan kawasan tempat tinggal mereka telah musnah akibat ditenggelami air hujan.
Menurut pasukan penyelamat, mereka hanya mampu memindahkan rakyat Gaza dari tempat perlindungan yang telah musnah ke lokasi lain yang kebanyakannya tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal, dan mereka kekal berada di tempat terbuka di bawah hujan dan kesejukan yang melampau.
Keadaan kemanusiaan yang dahsyat ini telah memaksa kira-kira 2 juta rakyat Gaza yang terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri sejak 7 Oktober 2023 untuk hidup di dalam khemah usang yang tidak memenuhi keperluan asas apatah lagi untuk kehidupan yang bermaruah dan tidak dapat melindungi mereka daripada kesejukan musim sejuk selepas tentera pendudukan Israel memusnahkan rumah mereka.