
AHLI Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti 24 Mei ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.
“Dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab, saya ingin mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini.
“Saya juga telah memaklumkan Presiden Parti, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Jelasnya yang juga merangkap Timbalan Ketua Penerangan PKR berkata, beliau juga telah meluangkan masa untuk berbincang dengan pimpinan parti, sahabat seperjuangan dan anggota PKR di seluruh negara sebelum membuat keputusan mencabar jawatan kedua tertinggi itu.
“Matlamat utama saya adalah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan parti Keadilan kita dari peringkat akar umbi sehinggalah di pimpinan pusat.
“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia MADANI dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara. Membujur lalu melintang patah. Reformasi!,” katanya.




