PADANG BESAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat negeri ini supaya mengoptimumkan penggunaan 17 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di seluruh Perlis.
Baginda bertitah, pusat itu bukan sahaja menjadi hab komuniti, malah menyediakan latihan, maklumat dan bimbingan menyeluruh kepada orang ramai.
“Beta menyarankan agar seluruh rakyat Perlis memanfaatkan kemudahan ini demi kemajuan diri, keluarga dan komuniti.
“Inisiatif ini merupakan lambang kejayaan kerjasama strategik berteraskan visi bersama bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan digital,” titah baginda pada Majlis Perasmian Perlis Connect di Padang Besar Street di sini, hari ini.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, teknologi kini bukan lagi terhad kepada bandar besar, sebaliknya turut dinikmati pekan kecil dan perkampungan.
“Perubahan ini mencipta peluang pekerjaan, menambah sumber pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat secara komprehensif,” titah baginda.
Baginda menegaskan bahawa Perlis Connect bukan sekadar peluasan capaian Internet, malah menjadi manifestasi keterangkuman digital menyeluruh yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Titah baginda, pelaksanaan sesi libat urus, taklimat perkhidmatan mudah alih, serta pendedahan keselamatan siber dan e-pembelajaran penting bagi membina masyarakat celik digital serta yakin berinteraksi di alam maya.
“Transformasi digital bukan semata-mata soal menara 5G, tetapi juga nilai kepercayaan, etika dan disiplin digital. Beta mendambakan generasi muda yang celik teknologi, warga emas yang yakin serta belia berjiwa pemimpin,” titah baginda.
Baginda turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong semua inisiatif yang membawa nilai, kemahiran dan maruah kepada rakyat negeri itu.




