TIADA rakyat Malaysia yang terbabit dalam serangan bom dan tembakan yang berlaku di Sungai Golok, malam tadi.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat yang berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian tersebut.
“Susulan kejadian yang berlaku malam tadi, saya dimaklumkan tiada rakyat Malaysia atau dari Kelantan yang terbabit dan cedera.
“Namun saya akan dapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa di sana,” katanya dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff menasihati rakyat Malaysia supaya tidak mengunjungi kawasan berkenaan buat sementara waktu.
Dalam kejadian di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok itu, dua sukarelawan polis Thailand maut, manakala lapan lagi cedera.

Serangan berlaku kira-kira 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.
Jurucakap polis Sungai Golok berkata, insiden tembakan dan serangan bom itu berlaku di sepanjang Jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.








