
KOTA KINABALU – Bantuan tunai di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa tiga mula dikreditkan ke akaun penerima pada Selasa, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup.
Rata-rata penerima meluahkan rasa syukur dan menghargai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan bantuan itu disalurkan tepat pada masanya.
Menurut beberapa penerima yang ditemui, bantuan STR mencerminkan komitmen kerajaan pimpinan PMX dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir, khususnya mereka yang amat memerlukan sokongan kewangan segera.

Seorang suri rumah, Rosmilah Samsuri berkata, beliau amat bersyukur apabila bayaran STR diterima lebih awal berbanding kebiasaannya yang dikreditkan pada hujung bulan.
“Saya sangat gembira kerana bantuan ini masuk lebih awal.
“Duit ini akan saya gunakan untuk membeli barangan makanan harian. Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press, di sini, pada Selasa.

Seorang lagi penerima bujang, Mohd Syafik Al Mukmin, menyifatkan bantuan tersebut sebagai sangat bermakna, terutama kepada golongan muda yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap.
“Walaupun jumlahnya hanya RM150, ini amat kami hargai. Ia sedikit sebanyak membantu menampung keperluan asas sementara menunggu peluang pekerjaan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Jamilah Naim berkata, pula berkata bantuan STR kali ini benar-benar membantu meringankan beban kewangannya.
“STR ini sangat membantu saya menampung kos harian, lebih-lebih lagi ketika menunggu gaji akhir bulan. Ia sedikit sebanyak memberi ruang untuk bernafas,” katanya.








