PUTRAJAYA – Pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi malam tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana jasa dan sumbangannya terhadap tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Allahyarham adalah seorang pemimpin berjiwa besar dan bersemangat tinggi dalam membawa perubahan kepada rakyat serta negara.
“Saya secara peribadinya merasa dukacita dengan pemergian Allahyarham.
“Walaupun di saat akhir kehidupan Allahyarham tidak beberapa sihat, tetapi pemergiannya akan dirasai seluruh rakyat Malaysia di atas jasa dan khidmat bakti beliau.
“Kita mengucapkan terima kasih dan diminta semua berdoa bersama-sama agar roh Allahyarham Tun Abdullah ditempatkan di kalangan orang-orang soleh, insya-Allah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah meninggal dunia di usia 85 tahun pada jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau.



