
TAPAH – Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bukan sekadar mengekalkan kerusi mahupun mencabar status quo namun referendum mini terhadap naratif besar Kerajaan MADANI, sama ada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih diyakini sebagai wadah kestabilan dan penyelesaian kepada keresahan rakyat.
Bekas Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Muhammad Zafir Mohd Saman berkata, BN sebagai calon mewakili kerajaan perlu hadir ke medan PRK sebagai pembawa suara rakyat dan cerminan keprihatinan kerajaan, bukan hanya bertekad semata-mata mahu mempertahankan kerusi tersebut.
Menurutnya, PRK pada kali ini bukan pertarungan biasa namun ia sebagai medan dalam membentuk persepsi nasional yang menjadikan persepsi akan menjadi lebih penting daripada retorik yang dimainkan sepanjang tempoh berkempen.
“Naratif dibawa mesti beranjak daripada slogan lama kepada mesej lebih tulus dan berakar umbi, di mana perlu mendengar rintihan rakyat, bukan sekadar mengulangi pencapaian; naratif yang menyelesaikan, bukan menyalahkan, apatah lagi dalam suasana rakyat menanggung beban ekonomi.
“Ia perlu mengiktiraf realiti hidup rakyat, dan menunjukkan bahawa kerajaan bukan hanya sedar, tetapi bersedia untuk bertindak secara responsif, bukan defensif.
“Dalam PRK ini, rakyat akan membuat keputusan bukan semata-mata berdasarkan calon atau parti, tetapi berdasarkan rasa percaya percaya bahawa kerajaan benar-benar faham dan sedia membela mereka dalam saat-saat getir ini.
“Maka, cabaran buat BN bukan hanya mempertahankan undi, tetapi memulihkan kepercayaan. Dan jika itu berjaya dilakukan, kemenangan di Ayer Kuning akan membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar satu lagi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Sekiranya BN menang, Muhammad Zafir berkata, ia bukan hanya mencerminkan kejayaan kempen atau kekuatan jentera parti tetapi sebagai isyarat kukuh bahawa rakyat masih memberi mandat kepada model pentadbiran campuran BN dan PH, khususnya di Perak di bawah pentadbiran Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sehubungan itu, beliau meningatkan calon kerajaan untuk berhati-hati dengan permainan pembangkang susulan PN memiliki kelebihan dalam mengaktifkan protes senyap walaupun ketika ini bergelut untuk menembusi kawasan bukan Melayu dan kekurangan tokoh tempatan yang berkualiti di Ayer Kuning.
“Sentimen anti BN tidak memberi kesan negatif kepada calon kerajaan, namun keengganan pengundi PH untuk menyokong calon BN yang tidak mewakili semangat reformasi, keterangkuman dan progresif nilai-nilai yang menjadi tonggak pengundi bandar dan separa bandar dikhuatiri menjadi kelemahan.
“Mereka tidak perlu meraih majoriti baharu cukup sekadar melemahkan semangat pengundi PH untuk keluar mengundi, lalu membuka ruang kemenangan tipis. PRK Ayer Kuning bukan soal menang bergaya tapi soal tidak kalah kerana cuai.
“Sebarang kecuaian dalam komunikasi antara UMNO dan PH boleh menyebabkan pengundi kerajaan memprotes secara senyap. Ini realiti yang perlu difahami sepenuhnya oleh jentera BN di kawasan luar bandar seperti Ayer Kuning, mempunyai karakter yang cukup unik mereka terkenal sebagai pengundi realis,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zafir berkata, jentera BN perlu dilatih untuk berkempen secara inklusif, memahami sensitiviti pengundi lintas parti, selain tidak terjebak dengan kempen bersifat eksklusif Melayu sahaja yang merupakan satu strategi yang akan menjarakkan mereka dari kelompok pengundi PH.
“BN tidak boleh sekadar masuk dengan semangat mempertahankan kerusi, ia perlu masuk dengan strategi mempertahankan keyakinan bahawa gabungan BN dan PH adalah pilihan rasional, berwibawa, dan responsif terhadap denyut nadi rakyat.
“Kemenangan BN dalam PRK ini bukan hanya tentang kelangsungan di Ayer Kuning, tetapi tentang kelangsungan naratif bahawa politik Malaysia pasca PRU15 masih boleh dibina atas dasar kesepaduan, kematangan, dan kepentingan rakyat mendahului segalanya,” katanya.







