
APA jua keputusan pemilihan PKR akan datang, Datuk Seri Rafizi Ramli akan terus menyumbang kepada pengukuhan parti itu.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, sama ada menang atau kalah, ia membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan menguatkan parti berdepan pilihan raya umum ke-16.
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Membayangkan bersedia mempertahan jawatan sama dalam pemilihan kali ini, Ahli Parlimen Pandan itu mengalu-alukan calon lain untuk turut bertanding demi memperkuatkan parti.
Jelasnya, keputusan untuk bertanding adalah hak masing-masing dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi seperti yang ditekankan parti berkenaan.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi turut berterima kasih kepada semua aktivis dan pimpinan PKR di semua peringkat yang memberi pelbagai pandangan dalam tempoh seminggu yang lepas.
Beliau berpandangan beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini tidak kira kecil atau besar sedang diperhatikan rakyat, justeru ia perlu ditangani secara berhemah.
“Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri.
“Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban, bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan,” katanya.
Pencalonan bagi jawatan-jawatan peringkat pusat seperti Naib Presiden dan Timbalan Presiden dibuka dalam talian antara 12.00 tengah malam 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei.
Pengundian bagi jawatan-jawatan tersebut akan berlangsung pada 23 Mei.
Selain Rafizi, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dicalon untuk jawatan Timbalan Presiden.