PREMIS yang dikendalikan warga asing di dua kawasan sekitar Bandar Puncak Alam terus digempur oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), baru-baru ini.
MPKS berkata, operasi bersepadu dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam kelmarin membabitkan 42 anggota penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi.
Antaranya, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sebanyak tiga premis diperiksa iaitu di Desa Coalfields dan Pusat Perdagangan Hillpark.
“Di lokasi pertama iaitu Desa Coalfields, satu Notis Penutupan Premis telah dikeluarkan Jabatan Penguatkuasa di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007.
“Sebanyak lapan meja makan serta 26 kerusi disita dan pada masa sama, Jabatan Pelesenan menarik balik lesen perniagaan premis terbabit setelah didapati dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah.
“Malah, PKD Kuala Selangor mengeluarkan tiga notis kesalahan berkaitan kebersihan makanan dengan kompaun sebanyak RM350,” menurut kenyataan MPKS di Facebook.
SSM pula mengenakan kompaun atas kesalahan tidak mempamerkan papan tanda serta nombor pendaftaran perniagaan.
MPKS berkata, di lokasi kedua juga di Desa Coalfields, tindakan penguatkuasaan turut dijalankan dengan penyitaan tujuh meja makan dan 27 kerusi.
Jelasnya, Jabatan Pelesenan menyerahkan borang pindaan bagi permohonan tambahan tujuh unit meja di samping Jabatan Kesihatan mengenakan dua kompaun atas kesalahan tidak menjaga kebersihan tempat penyediaan makanan dan membuang sisa makanan ke dalam longkang awam.
Dalam operasi yang sama, SSM turut mengenakan kompaun terhadap pengusaha premis kerana menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran yang sah.
“Di lokasi ketiga iaitu di Pusat Perdagangan Hillpark, pemeriksaan mendapati sebuah restoran menamatkan operasi dan sedang dalam proses pembersihan.
“Tiada pekerja warga asing ditemui dan hanya pekerja tempatan yang berada di lokasi semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.







