PUTRAJAYA – Proses rakaman percakapan kali kedua membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan esok di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya ditangguh kepada 13 Mac.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses rakaman percakapan tidak dapat dilaksanakan dan ditunda ke minggu hadapan susulan faktor kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Beliau berkata, Ismail Sabri dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM Khamis depan bagi dirakam percakapan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
“Sepatutnya beliau hadir esok, namun ia tidak dapat dilakukan kerana masih dalam cuti sakit.
“Jadi beliau akan hadir pada 13 Mac ini bagi dirakam percakapan berhubung kes rasuah,” katanya.
Ismail Sabri akan hadir buat kali kedua ke Pejabat SPRM Putrajaya, selepas membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Media sebelum ini melaporkan SPRM melakukan rampasan wang tunai dan jongkong emas, selepas menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu Perdana Menteri ke-9 itu.
Azam dilaporkan berkata, semua wang tunai berjumlah RM170 juta dengan pelbagai mata wang asing itu ditemui dalam tiga peti besi di kediaman berkenaan.
SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta dari lokasi sama.




