JOHOR BAHRU – Proses pengundian fizikal dan dalam talian bagi keseluruhan Kongres Nasional PKR yang bermula hari ini dilihat berjalan lancar.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat pagi ini, sebahagian ahli PKR yang selesai mengundi berjaya melaksanakan tanggungjawab itu tanpa sebarang masalah.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata , pemantauan yang dilakukan khususnya daripada segi kesalinghubungan (connectivity) di dua lokasi di Johor iaitu di Pusat Konvensyen Danga Bay dan Hotel Berjaya Waterfront mendapati tiada sebarang gangguan berlaku.
“Di lokasi lain iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak, saya masih tunggu laporan sama ada mereka gunakan internet jalur lebar disediakan atau data internet masing-masing. Kebanyakan daripada mereka nampaknya memanfaatkan internet sendiri.
“Tapi kita sediakan juga sebagai persediaan sekiranya apa-apa berlaku mereka masih boleh memanfaatkan. Setakat ini saya tidak ada mendengar apa-apa laporan mengatakan masalah internet di mana-mana lokasi.
“Malah, sehingga kini, saya belum terima apa-apa maklumat mengatakan ada masalah termasuk isu teknikal. Setakat pagi ini, keadaan nampak terkawal dan berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu, beliau hadir ke Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini, bagi meninjau kelancaran proses pengundian bagi Kongres Nasional Tahunan Wanita Keadilan ke-18, hari ini.
Mengulas mengenai keputusan pemilihan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata keputusan awal tidak rasmi dijangka diumumkan seawal jam 9 malam ini.
Manakala pengumuman rasmi barisan kepimpinan baharu akan dibuat sekitar jam 2.30 petang Sabtu oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Kongres Nasional PKR yang mula berlangsung pada Khamis, merupakan himpunan terbesar dalam sejarah sejak parti itu ditubuhkan pada 1999.




