
KOTA KINABALU – Usaha memperkasa kualiti hidup rakyat terus diperkukuh apabila tujuh projek tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan melibatkan kos melebihi RM260 juta berjaya disiapkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut memberi manfaat kepada 60,434 pengguna dengan penyediaan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berdaya saing, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.
“Projek-projek ini melibatkan naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu dan sistem pemantauan keselamatan bagi menjamin bekalan elektrik yang lebih diyakini merangkumi kawasan Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi dan Labuan,” jelasnya selaku Menteri PETRA.

Salah satu projek utama ialah pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) di bawah seliaan Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES), yang kini memberi manfaat kepada sekitar 11,452 pengguna di Tanjung Aru dan kawasan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Projek ini melibatkan pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan kelengkapan suis berpenebat gas 132kV dan 33kV (GIS), serta transformer 132/33/11kV bagi menggantikan sistem lama 66/11kV yang telah lapuk dan tiada alat ganti.
“Penyiapan projek ini turut menyokong pembinaan jajaran kabel 33kV baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik tersebut,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Tujuh Projek Siap Tahun 2024 Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) Petra kepada Kerajaan Sabah, sini pada Isnin.
Tambahnya, pada masa yang sama, enam lagi projek di bawah (PPKBES) yang berjaya disiapkan adalah Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang (Fasa 1:Naik taraf PMU Beaufort ke 275kV) – Pakej 2 yang bernilai RM34.92 juta,melibatkan pembinaan menara talian 275kV sepanjang 7 kilometer dari PMU Megalong ke sempadan Sidumin, Sabah ke Lawas, Sarawak.
“Projek ini telah siap sepenuhnya pada 2 September 2024 dan sedang menunggu penyiapan sambungan projek oleh pihak Sarawak Energy yang dijadualkan pada September 2025.
“Projek ini akan membolehkan sebanyak 30MW tenaga diimport dari Sarawak untuk kegunaan pengguna di Sipitang.
“Grid ini direka untuk membawa kapasiti penghantaran sehingga 500MW menjadikannya antara infrastruktur penting dalam jaringan utama ASEAN Power Grid yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Filipina bagi tujuan perkongsian tenaga rentas sempadan berdaya harap dan mampan,” jelasnya.



