
KOTA KINABALU – Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Pembangunan Loji Janakuasa serta Penanaman Mikroalga di antara SAIP Sdn Bhd dan CCE Power Holdings Sdn Bhd dilihat sebagai usaha meningkatkan pembangunan hijau di negeri ini.
Kerjasama tersebut turut memberi nafas baharu terutama dalam inovasi serta teknologi untuk terus memacu sektor perindustrian khususnya di Sabah.
Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Phoong Jin Zhe, pihaknya menyaksikan usaha berkaitan dengan penanaman mikroalga sekali gus termeterainya MoU ini.
Jelasnya, usaha tersebut menunjukkan kerjasama antara SAIP dan CCE Power, sebuah syarikat yang berpangkalan di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia, serta beberapa syarikat dan saintis dari Jepun.
“Mikroalga merupakan tumbuhan yang berwarna hijau dan kita boleh mengembangkannya untuk menjana tenaga lestari melalui industri biojisim (biomass industry).
“Selain itu, mikroalga juga boleh dimajukan sebagai satu industri hiliran ‘downstream industry’ yang boleh menghasilkan biofuel, bioplastik dan pelbagai lagi produk bernilai tinggi.
“Ini berpotensi besar dan boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang menguntungkan untuk Sabah,” katanya kepada media selepas majlis MoU, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menantikan hasil yang lebih besar daripada CCE Power di tapak projek ini serta percaya bahawa model mereka sedikit berbeza daripada yang dilakukan oleh Sarawak.
Tambahnya, sistem CCE menggunakan sistem tangki tertutup (closed tank system) untuk menanam mikroalga mereka.
“Kita juga telah mendengar hasil ujian makmal daripada CCE yang menunjukkan bahawa mikroalga mereka mempunyai kandungan kalori setinggi 5,000 kalori hampir menyamai arang batu.
“Namun, itu masih terbukti secara teori dan kita perlu pastikan ia dapat dibuktikan secara komersial dan dalam aplikasi sebenar,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Phoong yang juga Pengerusi SAIP berkata, Malaysia komited dalam membangunkan pembangunan yang mampan dan mesra alam.
“Pembangunan hijau atau ‘green development’ adalah sebahagian daripada agenda ini.
“Ini selaras dengan aspirasi Sabah untuk membangunkan bukan sahaja ‘green development’ tetapi juga ‘blue economy’.
“Sebagai contoh, kita telah berjaya menarik pelaburan dari Esteel dengan menggunakan teknologi dan tenaga gas asli untuk menghasilkan keluli hijau. Sudah tentu, berbanding dengan penghasilan keluli biasa, proses ini dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus.

“Saya jadikan contoh ini kerana kini semua negara sedang berusaha untuk mencapai matlamat sifar karbon menjelang tahun 2050,” katanya.
Sementara itu, Phoong turut melihat peluang yang sangat baik untuk melonjakkan pembangunan Sabah dalam menggunakan inovasi dan teknologi ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita mahu membawa teknologi baharu dan aktiviti pembuatan berkemahiran tinggi ke Sabah supaya golongan muda kita boleh mendapat pekerjaan yang baik, berkemahiran tinggi dan supaya pemindahan teknologi dapat berlaku di sini.
“Bayangkan jika kita berjaya membangunkan hab pembuatan mikroalga dan biojisim di Sabah, ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan anak muda serta saintis muda kita boleh bekerja dan belajar tentang teknologi serta idea inovatif yang akan dibawa oleh CCE Power ke sini,” ujarnya.







