JIKA benar ada komplot, dedahkan siapa yang terlibat, tegas Muhammad Kamil Abdul Munim.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak patut menuding jari meletakkan kegagalan pelaburan swasta di Kedah kepada pihak lain tanpa bukti yang kukuh.
“….agensi mana yang menggagalkan usaha tersebut. Kalau tak, Sanusi jadi seorang Menteri Besar yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada sebuah portal.
Jika Sanusi gagal berbuat demikian, Muhammad Kamil berkata, ia membuktikan tindakan beliau membuat dakwaan itu hanya helah untuk menutup kelemahan diri.

“Kalau dia tak dedahkan, kalau dia hanya bercakap kosong dengan buat kenyataan umum macam itu, saya anggap Sanusi berbohong. Kalau betul ada pakatan untuk gagalkan projek Langkasuka, perlu tunjuk (bukti),” katanya.
Semalam, Sanusi mendakwa terdapat satu perancangan besar untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu.
Dakwanya, syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya mereka menarik diri daripada projek yang diumumkan.
Sebagai contoh katanya, keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi, bernilai RM40 bilion namun beliau tidak mendedahkan puncanya.
Muhammad Kamil menyifatkan dakwaan Sanusi itu ibarat meletakkan beban atau kesalahan sendiri kepada orang lain.
“Kalau betul ada agensi, pihak kerajaan atau projek Persekutuan yang terlibat, beliau perlu jelaskan.
“Tidak menjadi masalah jika kerajaan negeri buat pengakuan kegagalan projek itu datang daripada kelemahan sendiri,” katanya.




