
JULAU – Pembangunan sektor kesihatan di Julau terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek pembinaan klinik kesihatan baharu di daerah berkenaan.
Projek ini dijangka meningkatkan akses rawatan kepada penduduk setempat sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkasa infrastruktur kesihatan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pembinaan klinik tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan berkualiti kepada rakyat.
Menurut beliau, kemudahan baharu itu akan memudahkan penduduk di kawasan Meluan dan sekitarnya mendapatkan rawatan asas tanpa perlu berulang-alik ke bandar lain seperti Sarikei atau Sibu yang terletak pada jarak agak jauh.
“Pelaksanaan projek ini menunjukkan keutamaan kerajaan dalam memenuhi keperluan asas rakyat serta memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak bagi meninjau kerja-kerja awal pembinaan Klinik Kesihatan Julau pada Rabu.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 (KK4) yang lengkap dengan Pejabat Kesihatan Daerah, kuarters kakitangan serta pelbagai kemudahan sokongan dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan tempoh kontrak selama tiga tahun sebelum dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




