
KOTA MARUDU – Pembangunan industri jagung bijian negara di Kampung (Kg) Masalog dijangka memberi impak besar kepada pendapatan penduduk setempat serta industri penternakan negara secara keseluruhannya.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Datuk Hendrus Anding berkata, projek tersebut bukan sahaja membuka peluang kontrak pertanian kepada rakyat malah mampu untuk menstabilkan rantaian bekalan makanan ternakan.
“Saya gembira kerana dengan adanya projek ini, bukan hanya ini boleh digunakan sebagai membantu untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui kontrak farming Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Selain itu, tanaman jagung ini penting kerana menjadi sumber utama makanan haiwan,” katanya ketika ditemui media selepas Lawatan rasmi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Islam Ishak, Sempena Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara di Kg Masalog, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebergantungan tinggi terhadap jagung import selama ini menyebabkan kos penternakan meningkat dan membebankan para penternak tempatan.
“Isu yang selalu kita dengar ialah tidak ramai yang muncul dalam bidang peternakan seperti ayam, daging, itik, puyuh dan sebagainya kerana mereka mengeluh dengan harga makanannya yang begitu mahal.
“Semua ini disebabkan oleh sumber utama makanan haiwan ialah jagung.
“Jadi rantaian ini sangat penting dan ia memberi impak kepada khususnya belia beliawanis di sini yang ingin menceburi bidang keusahawanan dalam penternakan.
“Dengan adanya ladang jagung yang lebih banyak di Kota Marudu, sudah tentu mengurangkan harga di pasaran dan memberikan galakan kepada mereka untuk menceburi bidang ini secara lebih serius,” katanya.
Dalam pada itu, Hendrus yang juga ADUN Tandek berkata, pelaksanaan projek tersebut juga memberi inisiatif ruang ekonomi baharu kepada penduduk setempat seperti penternakan ayam pada masa akan datang.
“Tidak mustahil begitu sekiranya kita merancang dengan begitu teliti kerana kita perlu memberikan banyak pengetahuan kepada mereka seperti latihan, pengetahuan dan sebagainya.
“Kota Marudu mempunyai peluang dan potensi yang sangat tinggi pada masa hadapan dan saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini menyokong usaha tersebut dan dapat membantu belia dan beliawanis untuk tingkatkan pendapatan,” ujarnya.




