
PAPAR – Projek pembangunan infrastruktur memberi sinar baharu kepada penduduk Mukim Kaiduan apabila kemudahan jalan raya dan jambatan baharu bukan sahaja memudahkan pergerakan malah membuka potensi kepada peluang ekonomi dan pelancongan.
Menurut salah seorang penduduk Kampung (Kg) Kaiduan, Angkat Kumis, 70, pembinaan projek ini amat dihargai oleh penduduk setempat kerana sebelum ini berdepan dengan kesukaran untuk keluar masuk kampung.
“Perkembangan yang ada pada masa sekarang di Kg Kaiduan walaupun orang kata sangat susah, jauh daripada pekan tetapi pada masa sekarang jalan raya sudah bagus.
“Selain itu penduduk pun senang hati dan memudahkan penduduk-penduduk kampung untuk berjualan ataupun pergi pekan untuk jual sayur-sayuran dan pergi kerja,” katanya ketika ditemui oleh wartawan TMP di sini pada baru-baru ini.

Tambahnya, Kg Kaiduan terletak jauh di kawasan pedalaman Papar dan agak terpencil serta kurang menerima kemudahan asas.
Namun, dengan pelaksanaan projek pembangunan melalui inisiatif kerajaan dan perancangan projek dalam Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan perubahan ketara.
“Penduduk di sini sangat bersyukur dan berbesar hati kami nampak usaha wakil rakyat dan kerajaan yang betul-betul bantu kami,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaiduan, Alexius Justinus, 46, pelaksanaan jambatan ‘Labor Line Crossing’ (LLC) ini dapat menjadi penghubung selepas hampir empat dekad menunggu.

“Pertama sekali adalah yang terbaharu ini iaitu jambatan LLC. Ini jalan utama yang sangat-sangat diperlukan oleh penduduk kampung, terutama yang tinggal di sebelah.
“Sudah hampir 40 tahun mereka menunggu ini jambatan. Dulu mereka mohon jambatan besi, tapi sekarang LLC ini sudah dilaksanakan.
“Jadi walaupun bukan jambatan besi, LLC, tapi ini jadi satu kebanggaan yang paling besarlah di Kampung kami ini, mukim Kaiduan,” kongsinya.
Selain pembinaan LLC, Kg Kaiduan juga sedang menyaksikan perkembangan dalam sektor pelancongan yang membuka peluang ekonomi kepada warga setempat.
“Jadi bukan itu saja, banyak lagi yang lain, terutama yang seperti yang kita boleh nampak di sana adalah satu pelancongan. Pelancongan yang sedang berjalan sekarang walaupun belum siap sepenuhnya.
“Saya sebagai pengerusi JKKK Kg Kaiduan dari Mukim Kaiduan mewakili penduduk kampung di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri KPDN dan tidak lupa juga dengan Wakil Rakyat Limbahau, Datuk Juil Nuatim kerana juga turut serta untuk menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu , seorang penduduk Kampung Bisuang, Monica Binidi, 39, turut berkongsi rasa kegembiraan apabila akses jalan raya sebelum ini hanya berturap batu kelikir (gravel) sudah berubah.
Jelasnya, kemajuan yang dibawa oleh pelaksanaan projek ini amat dirasai dan perubahan kampungnya ke arah yang lebih baik.
“Perjalanan sebelum ini kan semua gravel. Memang kalau kereta kecil memang tidak dapat masuk kecuali kenderaan yang besar,” katanya.
Monica turut berkongsi mengenai perjalanan dari Kg Bisuang ke Kaiduan yang dahulunya mengambil masa sejam, kini hanya memerlukan 15 minit sahaja.
Malah, jika dari Kaiduan ke Kota Kinabalu, masa perjalanan boleh dikurangkan kepada 45 minit sekiranya tidak kesesakan lalu lintas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan wakil rakyat kawasan atas komitmen mereka.
“Semoga Datuk Armizan terus menjadi YB di sini. Kami sangat bangga dengan usaha beliau. Sejak beliau dilantik, banyak perubahan telah berlaku.
“Kalau boleh, biarlah Datuk terus berkhidmat di sini. Kami akan terus menyokong beliau,” ujarnya.





