KOTA KINABALU – Projek tiga fasa Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion akan mencetuskan kesan rantaian yang meluas melangkaui teknologi hijau untuk merangsang inovasi, memacu manfaat kepada perniagaan dan masyarakat di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sahaja untuk Sipitang tetapi juga untuk negeri secara amnya.
“Berkaitan dengan pekerjaan, saya ingin menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah. Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan kita dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan.
“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri.
“Seperti yang kita tahu, taman-taman perindustrian yang sedia ada iaitu Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) menunjukkan peningkatan kadar penghunian dalam tempoh empat tahun yang lalu,” katanya semasa pelancaran fasa pertama projek bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Hajiji, melihat kepada permintaan tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri meluluskan tiga lagi kawasan industri baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat, yang akan menjadi sebahagian daripada Taman Industri Ekonomi Biru Sabah.
“Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi Sabah dalam meneruskan usaha meneroka potensi baharu demi merealisasikan potensi penuh negeri ini.
“Saya tegaskan bahawa Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah melaksanakan dasar-dasar untuk menarik lebih ramai pelabur ke sini.
“Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif yang menyuburkan pelaburan dan memupuk kerjasama.
“Kami memahami kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang,” ujarnya.







