MALAYSIA menyatakan sokongan padu terhadap Kenyataan Tokyo 2025 yang menekankan aspek kemampanan dunia digital untuk Asia Pasifik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kenyataan Tokyo yang akan dilancarkan sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecomumunity itu mampu membina infrastruktur digital yang berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk Asia Pasifik.
“Malaysia komited memastikan akses sejagat, kesaksamaan teknologi dan kelestarian alam sekitar dalam ruang digital.
“Menerusi sesi bersama Menteri bertajuk “Sustainable Digital Infrastructure and Accessibility”, saya tekankan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh capaian dan keterangkuman teknologi di peringkat nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook,
Menyentuh perihal JENDELA, Fahmi berkata, program itu telah banyak memberi manfaat khususnya kemudahan internet kepada rakyat.
“Melalui inisiatif seperti JENDELA, negara telah memperluas capaian internet berkelajuan tinggi ke lebih 9.03 juta premis dan meningkatkan liputan 5G ke lebih 82 peratus kawasan berpenduduk.
“Ini menyumbang kepada kemajuan keterangkuman digital, dengan kelajuan jalur lebar mudah alih mencapai purata 105.36 Mbps dan liputan internet 98.66 peratus pada suku keempat 2024,” katanya.
Fahmi menjelaskan, dengan penembusan mudah alih sebanyak 61 peratus dan pelaksanaan 5G, Malaysia membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan dan pelbagai industri.
“Malaysia juga bersedia bekerjasama dengan negara-negara APT lain untuk berkongsi inovasi dan membina masa depan digital yang inklusif dan mampan,” katanya.





