
ENGKILILI – Program Outreach 2025 anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili pada Selasa disifatkan sebagai pemangkin dalam merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Program tersebut membuka ruang kepada pelajar, ibu bapa dan guru untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai laluan pendidikan tinggi serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selaras usaha kerajatan Sarawak memupuk bakat generasi muda secara menyeluruh.
Menteri MEITD, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan program seumpama ini.
“Kerajaan Sarawak benar-benar serius dalam membina masa depan anak negeri. Saya menyeru ibu bapa supaya tidak ragu-ragu mendaftarkan anak mereka ke universiti, politeknik, kolej komuniti atau pusat kemahiran.
“Jangan sempitkan definisi kejayaan. Kerjaya seperti jurukimpal, pereka grafik, juruteknik solar dan pengaturcara juga merupakan pilihan masa depan yang bernilai tinggi,” katanya.
Program Outreach MEITD merupakan inisiatif tahunan yang menjelajah ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak bagi memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, program ini turut menjadi penyuntik semangat buat pelajar yang hampir tercicir, selain membuka semula peluang dan harapan untuk membina masa depan lebih cerah.
Beliau turut menekankan kepentingan bidang keusahawanan, perniagaan digital dan technopreneurship sebagai antara kemahiran utama dalam dunia moden, bukan sahaja untuk melahirkan pencari kerja, malah pencipta pekerjaan.
Antara agensi dan institusi pendidikan yang terlibat ialah Yayasan Sarawak, Sarawak Skills dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang tampil memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET.
Siri jelajah Outreach MEITD 2025 akan diteruskan ke beberapa lokasi lain termasuk Lubok Antu, Betong dan Lawas, selepas kejayaan penganjuran tahun lalu di Miri, Marudi, Kapit dan Beladin.
Selain pameran pendidikan, program turut menampilkan aktiviti interaktif seperti cabaran STEM dan bengkel kerjaya dengan penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kaunselor serta pemimpin sekolah dalam membimbing pelajar merancang hala tuju akademik dan kerjaya mereka.
Foto: Facebook YB Dr Johnichal Rayong Ngipa




