
MIRI – Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kebajikan warga emas diteruskan menerusi penganjuran Program Perkhidmatan Bergerak Permohonan Kad Kenyalang Gold (KGC) dan Sarawak Community Health Benefit (SCHB) yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Ogos ini di Stadium Tertutup Miri.
Program selama dua hari itu dijadual bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, agensi kerajaan serta jawatankuasa komuniti tempatan.
Ia bertujuan memudahkan proses permohonan dan pengeluaran kad secara serta-merta kepada warga emas yang layak tanpa perlu menunggu tempoh yang lama seperti sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata, program ini merupakan kesinambungan daripada dua siri terdahulu yang telah menerima sambutan menggalakkan daripada warga emas di sekitar Miri.
“Kita mahu mempermudah urusan mereka yang layak agar dapat menerima kad KGC pada hari yang sama,” katanya ketika ditemui.
KGC merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi mengiktiraf sumbangan warga emas dengan menawarkan pelbagai keistimewaan seperti diskaun pembelian dan keutamaan dalam perkhidmatan awam terpilih.
Pemegang KGC turut layak menerima manfaat di bawah skim SCHB, iaitu bantuan kesihatan sehingga RM500 setahun yang boleh digunakan di klinik panel berdaftar.
Antara syarat kelayakan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, berstatus penduduk tetap Sarawak dan memiliki MyKad dengan kod negeri ‘K’.
Pemohon disarankan membawa salinan MyKad serta dokumen penjaga (jika berkaitan) ketika hadir untuk membuat permohonan.
Orang ramai turut digalakkan membuat pendaftaran awal secara dalam talian melalui pautan rasmi: isarawakcare.sarawak.gov.my/applynow bagi melancarkan urusan pada hari program.
Program ini dijangka memberi manfaat kepada warga emas sekitar Miri, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




