
KULAI – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan memperluaskan pelaksanaan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) ke serata negeri sebagai usaha mendekati masyarakat berbangsa India di kawasan-kawasan terpilih.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program NANBA dilhat menjadi platform tepat bagi menjayakan pelbagai agenda khususnya dalam menyerbarluaskan maklumat berkaitan kerajaan.
“Ini adalah program baharu dilakukan dan kami bercadang agar ia diadakan seluruh Malaysia. Program ini sangat sesuai dalam menyasarkan masyarakat muda India.
“Kami bercadang untuk ia dibawa ke negeri-negeri lain seperti Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan banyak lagi yang mana memfokuskan penduduk masyarakat India dalam jumlah yang besar, maka JKOM akan turun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program NANBA di Dewan Serbaguna Taman Mewah, di sini, hari ini.

Program turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwadi Guliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JKOM kerana memilih daerah berkenaan sebagai lokasi pertama penganjuran program tersebut.






