LENGGONG – Sebanyak 100 kotak bakul makanan dan 50 unit jaket keselamatan telah diagihkan kepada penduduk Kampung Beng Dalam, di sini, sebagai salah satu pengisian program inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memperkukuhkan hubungan masyarakat setempat dengan jentera kerajaan khususnya agensi dan jabatan di bawah KDN.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, melalui program khidmat masyarakat seperti ini, secara tidak langsung dapat menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuhkan jalinan silaturrahim.
“Ianya selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan keadilan sosial dalam membangunkan negara.
“Sebanyak 100 kotak makanan sumbangan Yayasan Food Bank Malaysia diagihkan kepada penduduk kampung dan 50 unit jaket keselamatan daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) turut diserahkan kepada wakil nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat Madani anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan dan Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob.
Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, program tersebut juga mengeratkan hubungan Maritim Malaysia dengan masyarakat seiring dengan salah satu daripada Teras Tujuh yang beliau perkenalkan iaitu Pengukuhan Jalinan.
“Melalui pengukuhan hubungan ini, ia sekaligus membina rasa saling percaya serta sokongan yang lebih mendalam antara agensi dan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, turut dilaksanakan aktiviti khidmat masyarakat melibatkan lebih 100 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia melibatkan aktiviti gotong-royong bagi mengindahkan surau, membersihkan serta membaiki pondok wakaf tanah perkuburan termasuk stor simpanan peralatan jenazah.
Beberapa replika aset agensi turut dipertontonkan kepada umum selain jenis pakaian serta senjata yang digunakan penguat kuasa ketika melaksanakan operasi serta berkongsikan maklumat berkenaan peranan dan tanggungjawab serta peluang kerjaya dalam Maritim Malaysia.





