
KOTA KINABALU – Komuniti luar bandar di Kampung Makatip dan Kampung Pegalan Kusob menerima manfaat melalui Program Kampung Angkat 2025 yang dianjurkan Badan Penyelaras KDCA Putrajaya dengan kerjasama Sabahan Welfare and Social Group (SWAG).
Pengerusi KDCA Putrajaya, Severinus Tukah berkata, program berkenaan memfokuskan kepada kelestarian komuniti melalui tiga teras utama iaitu sokongan pendidikan, peningkatan kemudahan asas, dan perkhidmatan kebajikan.
‘’Pendidikan merupakan pelaburan masa depan paling penting bagi memastikan komuniti luar bandar terus berdaya saing.
‘’Sebagai permulaan, enam pelajar berpotensi tinggi dari SK Pegalan Kusob akan menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM100 sepanjang tahun 2026 bagi meringankan beban keluarga mereka
‘’Inisiatif ini diharap akan menjadi model lestari bagi pemerkasaan komuniti luar bandar yang inklusif dan berterusan di masa hadapan.
‘’Dalam program ini juga, sebanyak 30 kerusi plastik telah diserahkan kepada ketua Kampung Pegalan Kusob untuk kegunaan pelbagai aktiviti komuniti,’’katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Selain itu, kempen kutipan dana juga dilancarkan bagi membantu Rumah Kebajikan Makatip membeli sebuah van mini untuk menyokong operasi harian dan logistik mereka.
“Sumbangan awal sebanyak RM3,000 telah diserahkan, namun dana tambahan masih diperlukan kerana kos anggaran sebuah kenderaan baharu adalah sekitar RM150,000.”ujarnya.
Program sehari tersebut bukan sahaja menyediakan sokongan material, tetapi juga berjaya mengeratkan hubungan antara sukarelawan, agensi dan penduduk kampung.






