
SELANGAU – Program Jiwa Komuniti MADANI@Kemasyarakatan (KM Pelugau) yang berlangsung di Rumah Ngian Mee Lai, Kuala Pelugau, pada Rabu, berjaya menghimpunkan seramai 300 penduduk setempat dalam usaha memperkasa peranan kepemimpinan akar umbi.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta yang menegaskan kepentingan pemimpin komuniti menyuarakan keperluan dan aspirasi rakyat kepada pihak berwajib secara tersusun.
“Saya menyeru agar semua Tuai Rumah lebih berani berhubung terus dengan Pegawai Daerah kerana mereka adalah individu yang bertanggungjawab terhadap kebajikan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang permohonan bantuan dan cadangan program disalurkan terlebih dahulu kepada Pejabat Daerah sebelum dibawa ke peringkat Parlimen bagi memastikan pelaksanaan yang sistematik.
Pada majlis sama, Edwin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk pembinaan Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ngian selain komitmen menampung separuh kos penganjuran Program KMKK yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini di Hotel Kingwood, Sibu.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan terhadap kemampanan, kesejahteraan serta keutuhan masyarakat khususnya di luar bandar.
Turut hadir Pegawai Daerah Selangau, Yalin Assan; Pegawai Penerangan JaPen Sibu, Zaini Morshidi; Pegawai Penerangan JKOM Selangau, Awang Amirul Shafiq; Ketua Komuniti MADANI Pelugau, Thomas Lasu serta barisan Tuai Rumah dari sekitar Selangau.






