
BEKENU – Sebagai sokongan kepada persediaan awal sesi persekolahan 2026, satu program kebajikan yang menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma untuk pelajar akan diadakan pada 10 Januari 2026 di Arena Sibuti.
Program Sentuhan Prihatin – Bergunting Rambut Percuma Sempena Awal Persekolahan Sesi 2026 ini terbuka kepada 100 pelajar terawal dan dijadualkan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Program ini telah dianjurkan oleh Wanita, Pemuda dan Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N71 Bekenu sebagai sebahagian daripada inisiatif mendekati masyarakat serta membantu kebajikan komuniti setempat.
Menurut penganjur, selain meringankan kos persiapan sekolah ibu bapa, program ini juga bertujuan memupuk semangat prihatin dan kerjasama dalam kalangan penduduk.
Pihak penganjur berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi manfaat berterusan kepada komuniti di kawasan Bekenu.
Perasmian bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus merangkap ADUN Bekenu.







