
MUKAH – Tindakan seorang buruh menyimpan dadah mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di hadapan sebuah rumah panjang di Batu 12, Jalan Lama Metading-Selangau pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 1.05 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Menurutnya, pemeriksaan tubuh ke atas suspek menemui satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bahan tersebut dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat 0.32 gram bernilai RM110,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas beliau, saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 6 Januari depan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Rizal turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran







