
SIPITANG – Calon PH bagi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa menyeru penduduk agar tidak melepaskan peluang pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) untuk memastikan agenda pembangunan di kawasan Sindumin dipercepatkan.
Yamani berkata, tempoh dua tahun akan datang merupakan ruang penting bagi mempercepatkan pembinaan jalan, menambah peluang pekerjaan dan menambah baik kemudahan asas yang masih tertinggal di Sindumin.
“Mesej saya hari ini mudah, jangan ketinggalan bas, kita pastikan Sindumin ini tempat PH supaya ia dapat pembelaan.
“Sekurang-kurangnya dua tahun ini kita ambil peluang. Kita percepatkan jalan-jalan yang lambat, bina lagi pekerjaan, bangunkan lagi apa yang kurang,” katanya ketika berucap dalam lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Meligan, pada Isnin.
Jelasnya, bahawa peruntukan negeri sahaja tidak mencukupi bagi menampung keperluan pembangunan, justeru sokongan kepada Kerajaan Persekutuan menjadi faktor penting untuk memastikan projek di Sindumin dapat direalisasikan.
“Saya yakin orang-orang di sini tahu masa depan yang cerah tidak lain tidak bukan, hanyalah dengan memilih PH pada 29 hari bulan ini.
“Saya mohon, saya merayu jangan kita sia-siakan peluang ini. Kita ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan yang stabil, kuat dan kukuh dengan hubungan yang baik bersama Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi untuk bersama-sama memperjuangkan pembangunan di Sindumin dan memastikan kawasan itu terus dimajukan.
“Berjuang bersama saya, bergerak bersama saya.
“Kita majukan tempat kita di Sindumin dan secara spesifiknya, dimilikkan bersama,” katanya.





