
SANDAKAN – Proses pengundian awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting melibatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan lancar.
Seramai 969 anggota TLDM bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bermula pagi tadi.
Selain Karamunting, daerah Sandakan turut membuka lapan pusat pengundian awal melibatkan tujuh DUN lain iaitu Gum-Gum, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Elopura dan Tanjong Papat.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal ini membolehkan anggota yang terlibat dengan tugasan operasi menunaikan hak mereka lebih awal bagi memastikan keberlangsungan tugas keselamatan negara.

Bagi anggota TLDM, Thaneshwaran Chandrasekhar, 26, peluang mengundi awal memberi kemudahan besar kepada mereka.
“Sebagai anggota TLDM, kami sering beroperasi. Jadi mengundi awal memudahkan urusan.
“Harapan saya, tidak kira parti mana menang, jagalah keamanan Sabah dan perbaiki jalan raya,” katanya ketika ditemui wartawan TMP selepas mengundi di Dewan Azim, Kompleks Perumahan TLDM, Taman Samudera, Batu 5, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Muhammad Ammirul Irman Sukri, 26, berharap calon yang dipilih rakyat kelak benar-benar menunaikan amanah.
“Alhamdulillah, selesai tugas saya sebagai pengundi awal.
“Harapan saya kepada calon yang terpilih, jalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan gunakan kelebihan yang ada untuk membantu rakyat.
“Semoga kerajaan selepas ini membawa Sabah ke arah kemajuan seperti slogan Sabah Maju Jaya,” ujarnya.

Seorang lagi anggota, Mohammad Madzwan Johari, 37, menzahirkan harapan agar kerajaan baharu dapat mentadbir negeri dengan baik.
“Cukuplah parti mana yang menang nanti dapat mentadbir Sabah dengan sebaiknya,” katanya.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, serta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chin Kim Hiung turut hadir bagi meninjau perjalanan pengundian sebagai sebahagian usaha memastikan ketelusan proses undi awal.
Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokthar, yang turut menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat berkenaan.
Setakat ini, proses pengundian awal TLDM di Sandakan dilaporkan berjalan teratur, terkawal dan mengikut prosedur ditetapkan.





