
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, selain turut terbuka menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain yang mengekalkan hubungan baik Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurut kenyataan bersama empat pemimpin utama PH Sabah, kerjasama dengan BN dianggap rasional memandangkan kedua-dua gabungan merupakan tunjang kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“PH Sabah yakin bahawa kestabilan politik di peringkat Persekutuan dan Negeri, serta hubungan yang harmoni antara kedua-duanya, perlu dikekalkan dan diperkukuhkan bagi memastikan aspirasi pembentukan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat direalisasikan.
“PH Sabah juga terbuka untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dengan parti-parti lain,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Jelasnya lagi, sebarang kerjasama politik yang dibentuk harus berpaksikan pembangunan dasar-dasar yang mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick; Ketua DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Amanah Sabah, Lahirul Latigu.