PILIHAN Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah menjadi lembaran penting dalam landskap politik Malaysia, bukan sahaja untuk Pakatan Harapan (PH), tetapi untuk semua parti yang bercita-cita memimpin negara menuju masa depan yang lebih stabil dan berintegriti.
Malah, gelanggang kali ini telah membuka wajah sebenar politik Malaysia Timur, sebuah kenyataan yang keras, tetapi perlu diterima di mana, rakyat Sabah semakin menolak parti dari Semenanjung yang dianggap tidak memahami denyut nadi masyarakat setempat.
Keputusan yang menyaksikan PH mengalami kekalahan besar, termasuk total wipeout DAP Sabah, PKR yang hanya menang satu kerusi, dan Amanah masih belum menembusi kawasan Sulabayan, memberi mesej sangat jelas bahawa pengundi Sabah menghantar isyarat yang tidak boleh dipandang ringan bahawa kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi tanpa usaha berterusan.
Pilihan raya ini adalah pesta demokrasi yang diraikan rakyat Sabah dengan penuh hikmah; mereka telah menggunakan hak mereka, bukan sahaja untuk memilih wakil namun menuntut kefahaman lebih mendalam dan kehadiran kerja yang konsisten, serta tidak hanya kemunculan bermusim ketika hampir pilihan raya.
Apa yang ditunjukkan oleh PRN kali ini ialah kesediaan pengundi Sabah untuk menghukum mana-mana parti yang gagal menunjukkan komitmen. PH menerima tamparan paling hebat, termasuk hilangnya sokongan tradisi pengundi Cina yang selama ini menjadi tonggak kekuatan gabungan itu.
Pengundi Cina yang lazimnya menjadi benteng sokongan PH, memilih untuk tidak keluar mengundi atau mengalihkan undi mereka kepada parti lain. Fenomena ini tidak berlaku secara kebetulan kerana ia lahir daripada rasa kecewa yang semakin menebal terhadap hala tuju gabungan itu.
Namun, apa lebih besar daripada itu, wujud gelombang penegasan bahawa masa depan politik Sabah tidak boleh terus ditentukan parti Malaya. Sentimen ‘Sabah First’ kini bukan sekadar slogan politik, tetapi suara hati rakyat yang mahu melihat pemimpin tempatan menentukan hala tuju negeri sendiri.

Barangkali, pengundi sudah penat dengan politik yang dilihat tidak konsisten, kerjasama yang dianggap bercanggah dengan prinsip asal, serta janji-janji perubahan yang tidak lagi memberi inspirasi.
Namun, di sebalik segala kegagalan itu, pesta demokrasi di Sabah tetap menunjukkan satu sisi yang indah bagi PH, termasuk Amanah, tidak hilang deposit, membuktikan walaupun parti itu tidak dipilih menjadi wakil rakyat, mereka tidak ditolak secara total.
Masih ada pengundi yang menghargai wujudnya pilihan politik yang lebih progresif, meskipun undi mereka belum cukup kuat untuk mengangkat calon-calon tersebut sebagai wakil rakyat. Dalam bahasa politik, ini adalah petanda bahawa pintu masih belum tertutup, cuma pendekatannya perlu diperbaharui sepenuhnya.
Sehubungan itu, kekalahan bukanlah pengakhiran cerita, parti dari semenanjung masih ada ruang untuk melaksanakan pembaharuan namun ia menjadi semakin sempit jika tiada perubahan dilaksanakan secara pragmatif oleh pemimpinnya.
Di sinilah terletaknya elemen muhasabah yang sangat penting. Setiap parti perlu kembali kepada asas, kembali memahami denyut nadi rakyat dan kembali mendekati masyarakat tanpa keangkuhan. Politik bukan sahaja tentang meraih kuasa, tetapi tentang membina hubungan.
Pengundi Sabah terkenal sebagai pengundi yang matang, kritikal dan tidak mudah terbeli dengan retorik kosong. Mereka melihat siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang turun padang, siapa yang memahami warna tempatan dan siapa yang hanya muncul ketika pilihan raya hampir tiba.
Malaysia sedang memasuki fasa baharu, di mana rakyat semakin kritikal, semakin cerdas politik dan semakin menuntut integriti. Para pengundi tidak lagi mudah terpesona dengan slogan; mereka mahu melihat kerja, ketelusan dan ketegasan melawan rasuah.
Bagi merealisasikan Malaysia mendapat ‘baldatun thayyibatun warabbun ghafur,’ politik kita perlu berakar pada nilai rahmah, hikmah dan integriti, bukannya retorik spiritual semata, tetapi prinsip kepimpinan yang memandu ke arah kesejahteraan sejati. Setiap parti, baik pemerintah mahupun pembangkang, perlu melihat PRN17 Sabah sebagai amaran keras.
Janganlah kekalahan hanya dijadikan alasan untuk menyalahkan pihak lain atau menyusun naratif selamatkan diri sehingga ada yang terpaksa dikorbankan menjadi kambing hitam. Kemenangan besar pun tidak boleh dibanggakan tanpa kerja yang nyata, apatah lagi kekalahan seteruk ini.
Ia mesti menjadi kaca mata yang mengajak parti melihat kelemahan sendiri, memperbaiki strategi dan meletakkan calon yang benar-benar mampu menjadi pemimpin, bukan sekadar pelengkap kuota.
Dalam perspektif yang lebih luas, PRN17 Sabah melakar satu hikmah besar iaitu politik yang tidak berpijak di bumi nyata pasti akan dihukum rakyat.
Sabah sudah bersuara. Lontaran itu tegas, matang dan tidak boleh dipinggirkan. Masa depan politik Malaysia memerlukan pemimpin yang merendah diri, jujur, berwibawa dan benar-benar bekerja untuk rakyat.
Inilah hikmah terbesar yang dibawa menerusi PRN17 Sabah. Kini terpulang kepada parti politik, sama ada mereka mahu berubah, atau terus dihukum.







