
KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR terus menumpukan kepada persediaan jentera, strategi dan pengukuhan sokongan akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Biro Politik AMK dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga membincangkan persiapan menghadapi PRN17 Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Biro Politik AMK telah mengadakan mesyuarat sulung pada 26 Mei 2025, diikuti dengan beberapa siri perbincangan lanjutan bagi memperkukuh struktur organisasi AMK bagi penggal 2025 hingga 2028.
“Beberapa perkara yang diangkat dalam siri perbincangan ini antaranya melibatkan soal penumpuan kepada hala tuju dasar pasca pemilihan.
“Khususnya melibatkan pembangunan anak muda, reformasi institusi dan pentadbiran,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, bagi menjamin kelancaran gerak kerja AMK pada PRN Sabah akan datang, Biro Politik AMK turut mengisi jawatan awal terlebih dahulu sebelum pelantikan penuh kepimpinan sesi 2025-2028 dimuktamadkan.
“Antaranya ialah Pengarah Pilihan Raya, Izuan Kasim, Setiausaha, Omar Mokhtar A Manap dan Bendahari, Hilmy Yakap.
“Selain itu, Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil dan Timbalan Ketua AMK Sabah, Vincent Fung yang turut menjalankan tanggungjawab sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Sabah,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan yang sama, semua lantikan ini akan meneruskan tugas sehingga pelantikan rasmi kepimpinan baharu oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang bakal diadakan dalam masa terdekat.







