
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memperkukuh kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah demi membina negeri yang stabil dan makmur, bukan sekadar fokus kepada kemenangan pilihan raya.
Menurut Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan.
“Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus.
“Kerjasama ini akan dirunding dengan teliti oleh kepimpinan BN dan PH Sabah, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO dan BN Sabah menyokong kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN17 Sabah, hasil perbincangan dalam Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

“Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan.
“Barisan Nasional Sabah akan menggerakkan seluruh jentera, dari peringkat negeri hingga ke akar umbi, dengan sepenuh komitmen iaitu 100 peratus fokus, 100 peratus disiplin, 100 peratus keikhlasan, untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu, matang dan berwibawa.
“Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen,” katanya.
Dalam pada itu, Bung berkata, UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan dengan amanah dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk negeri.
“Kita telah belajar daripada masa lalu dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama.
“Demi Sabah, demi rakyat, kita bersatu. Kita matang, kita melangkah ke hadapan,” tegasnya.