JOHOR BAHRU – Gesaan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung tuntutan jumlah kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diberikan perhatian oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas mengenai hal itu, beliau yang juga Perdana Menteri memberikan jaminan untuk mendapatkan jumlah kerusi munasabah melalui perbincangan dalam satu mesyuarat khas pada Khamis ini.
“Saya sudah berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama hanya boleh dilakukan dengan syarat pengiktirafan diberi kepada Pakatan Harapan (PH) untuk sama-sama perjuangkan nasib rakyat Sabah.
“Selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN, mesyuarat khas akan diadakan dan saya memberi jaminan bahawa PKR dan PH akan memperoleh jumlah kerusi yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar, serta barisan kepimpinan parti.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya meminta PKR diberikan sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN pada PRN Sabah.






