PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan untuk melanjutkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan menyatakan keyakinannya terhadap pendekatan berani Azam dalam memerangi rasuah.
Anwar berkata, walaupun keputusan itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk pembangkang, beliau tetap teguh dengan pendiriannya bahawa Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani kes rasuah berskala besar.
“Saya percaya, melihat kepada rekod SPRM sejak beberapa dekad lalu, ini adalah kali pertama agensi tersebut berani menyerbu golongan taikun besar.
“Ya, itu adalah kenyataan. Saya boleh sahaja menggantikannya esok dan berbincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet, tetapi saya belum yakin orang seterusnya akan berani berdepan dengan taikun bernilai berbilion ringgit,” katanya.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa SPRM telah bertindak tegas terhadap individu berprofil tinggi mempunyai pangkat dan gelaran.
“Melihat perkembangan SPRM sejak puluhan tahun lalu, ini kali pertama suruhanjaya berkenaan berani menggeledah tauke besar. Inilah kenyataannya, kalau nak suruh ganti, saya boleh bincang (dengan kepimpinan) dan esok juga kita akan ganti.
Oleh itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka tanpa gangguan.
Dalam masa yang sama, Anwar melahirkan rasa kecewa apabila tindakan tegas SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotifkan dendam terhadap pihak tertentu.
“Beri ruang kepada (Azam). Dalam masa ini, kita akan kenal pasti pengganti yang sesuai dan berani seperti beliau, dan peralihan kepimpinan SPRM akan berlaku kelak,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan bahawa kontrak Azam telah dilanjutkan selama setahun, bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Lanjutan pelantikan itu telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.




