
NIBONG TEBAL – Pengundi luah rasa gembira dan lega kerana telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi ini.
Seorang pengundi Asiah Ismail, 65, berkata, beliau berasa teruja dan lega kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat Malaysia meskipun ini bukan kali pertama buatnya membuang undi.

Malah, sebagai persediaan awal sudah menjadi kebiasaan buat dirinya keluar awal pagi selain untuk mengelakkan kesesakan dan cuaca panas.
“Alhamdulillah, brasa lega sebab dah selesai keluar membuang undi,” katanya ketika ditemui di Pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakah, di sini hari ini.
Sementara itu, Salasiah Maarof, 85, turut berasa gembira kerana dapat bersama keluar mengundi untuk memilih calon bagi DUN Sungai Bakap.

“Selesai dah, hari ini kita datang awal pagi lagi memang setiap kali mengundi kita lebih suka datang awal.
“Apa pun, inshaAllah moga semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, tinjauan TheMalaysiaPress mendapati pengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Bakap telah beratur sebelum jam 8 pagi terutamanya warga emas antara yang terawal hadir untuk mengundi.
Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap.
Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).




