
KOTA BHARU: Parti Bersatu dijangka akan memuktamadkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam waktu terdekat.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Mohd Noor berkata, pihaknya turut menghantar senarai nama calon membabitkan lebih tiga nama kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita menjangka pucuk pimpinan akan memuktamadkan calon PRK DUN Nenggiri pada minggu depan. Kita hanya memberi senarai pendek, namun siapa yang akan terpilih adalah keputusan pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam 2024 (Kelmic ‘24), di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, pihaknya sentiasa sersiap sedia bagi berdepan PRK sebaliknya telah mengatur gerak kerja di lapangan.
“Kita akan bekerja kuat demi memastikan kerusi berkenaan kekal menjadi milik Bersatu,” katanya
Dalam pada itu, Kamaruddin turut menafikan parti berkenaan ketandusan calon untuk ditampilkan pada PRK kali ini.
“Ada yang kata kita kekurangan calon, sedangkan kita mempunyai ramai calon yang layak dan berkebolehan.
“Justeru, tidak timbul isu ketandusan calon atau berlaku perebutan dalam kalangan ahli untuk menjadi calon,” katanya.







