
KOTA KINABALU – BN meletakkan kriteria kebolehmenangan sebagai keutamaan dalam pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangn dan DUN Lamag, pada 24 Januari hadapan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya juga memberi penekanan kepada calon tempatan serta generasi muda.
“Itu adalah kriteria kami dan kita akan tentukan kemudian bersama-sama dengan pucuk pimpinan BN dan juga Kerajaan Perpaduan.
“Kita sudah kenal pasti ada beberapa calon dan nanti kita akan bincang secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Menurut Jafry, walaupun calon belum dimuktamadkan, BN mempunyai ramai pemimpin muda pelapis yang berpotensi untuk diketengahkan sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN.
Dalam pada itu katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka akan turun padang bagi membantu kempen terbabit.






