
KINABATANGAN – Barisan Nasional (BN) menjelaskan parti itu sama sekali tidak berniat meraih undi simpati setelah pemergian Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin, sebaliknya meminta pengundi terus memberikan mandat kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN hanya meminta semua pihak bersimpati akan kehilangan tersebut.
“Saya ingin memberikan kenyataan bahawa kita bersimpati dengan pemergian Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin.
“Bukanlah kami (BN) ingin meraih undi atas kematian ini, tetapi bersimpatilah,” katanya ketika ditemui media sempena Lawatan Kerja Rasmi Timabalan Menteri Kerja Raya Ke Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 di Pejabat Tapak Pan Borneo Work Package 25 (WP25) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, tidak ada keperluan untuk pengundi menukar sokongan kepada parti lain memandangkan BN telah memenangi kedua-dua kerusi terbabit sebelum ini.
“Yang sudah menang ialah BN di DUN Lamag dan juga Parlimen Kinabatangan. Oleh itu, teruskanlah memberi peluang kepada calon BN untuk menang,” ujarnya.
Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRK ini, selain memberi komitmen membantu calon BN.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera BN agar tidak leka kerana parti Warisan meletakkan calon yang berpengalaman.
“Walaupun begitu, calon kita tidak ada kurangnya. Saudara Naim Kurniawan Moktar merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan yang sangat memahami kawasan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan Kinabatangan merupakan kawasan Parlimen yang sangat luas, malah lebih besar berbanding beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, justeru isu komunikasi dan pergerakan jentera perlu diberi perhatian serius.
“Kinabatangan ini luas, kira-kira sebesar negeri Johor dan 11 kali ganda negeri Melaka. Jadi masalah komunikasi dan perjalanan mesti diselesaikan oleh jentera,” katanya.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat ‘War Room’ UMNO memaklumkan jentera parti dari luar Sabah tidak terlibat, sebaliknya digerakkan melalui 24 bahagian UMNO lain sebagai keluarga angkat kepada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Kinabatangan.
“Semua PDM sudah diagihkan dan dinamakan. Esok semua jentera akan turun membantu. Saya berpuas hati dengan tahap persiapan jentera setakat ini,” katanya.






