MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa Kementerian Komunikasi akan segera bertindak dalam memastikan mutu capaian internet ditambah baik agar tidak mengganggu sebarang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Sehubungan itu, menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengadakan satu mesyuarat khas bersama syarikat-syarikat telekomunikasi dalam waktu terdekat ini.
Ujarnya, pertemuan itu bagi memastikan semua syarikat telekomunikasi berkaitan akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu capaian internet di kawasan DUN Ayer Kuning.
“Walaupun secara purata capaian internet berada pada tahap yang memuaskan, tetapi ada setengah lokasi sebaliknya.
“Kita tidak akan menunggu lama dan perjumpaan itu nanti untuk mengesahkan tindakan susulan yang perlu diambil,” katanya.
Jelas beliau, ia khususnya bagi proses penamaan calon dan pengundian berjalan dengan baik di sekolah-sekolah yang terlibat, terutamanya yang berada di kawasan perkampungan Orang Asli.
“Oleh itu saya menantikan hasil mesyuarat yang akan diadakan antara MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi,” tambahnya.
Beliau ditemui pada Program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) di Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang, Tapah.
Jelasnya, MCMC diminta untuk meneliti isu capaian internet secara menyeluruh berdasarkan data daripada pelbagai sumber seperti Ookla yang menjalankan ujian kelajuan internet.
“Usaha ini bukan hanya kerana PRK sebaliknya adalah langkah berterusan.
“Kementerian Komunikasi dan MCMC mengambil pendekatan proaktif dengan tidak hanya bergantung kepada aduan orang ramai semata-mata.
“Sebaliknya MCMC akan meneliti isu capaian internet secara menyeluruh berdasarkan data daripada pelbagai sumber,” tegas Fahmi.








