TAPAH – Poster mengenai biodata calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek yang dikongsi mencetus tanda tanya terutama mengenai latar belakang pekerjaan Naib Yang Dipertua Pas Tapah itu.
Berdasarkan maklumat tertera, beliau bekerja sebagai guru agama bermula 2012 sehingga kini, bagaimanapun tular di media sosial bahawa beliau menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memperoleh lesen guru tauliah.
Abd Muhaimin ketika ditanya bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan dengan ringkas bahawa isu berkenaan sudah dijelaskan meskipun tiada sebarang laporan dikeluarkan daripada mana-mana media.
“Saya ingat yang itu clear (jelas), yang itu semua dah clear sebab kita dah ada keputusan daripada Majlis Agama Islam itu semua tiada masalah apa-apa, Insya-Allah,“ katanya.
Beliau ditemui media selepas selesai Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, pada Sabtu.

Sementara itu, Abd Muhaimin berharap kempen yang akan berlangsung selama dua minggu ini akan berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, setiap calon yang masuk bertanding sudah pasti berharapkan kemenangan.
“Saya mengharapkan kempen yang baik, yang datang daripada hati, mesra rakyat, penuh dengan kasih sayang dan penuh dengan rasa mahabah kerana kita menghidupkan demokrasi.
“Kalah menang itu cerita kemudian. Kita nak menjalankan kempen dengan cara yang baik-baik di peringkat parti kerajaan atau parti pembangkang untuk menghidupkan demokrasi di tempat kita ini.
“Kita juga akan berusaha untuk pergi ke seluruh rumah pengundi-pengundi dalam tempoh ini (kempen) sedaya termampu dengan kesihatan, kudrat dan jentera yang ada, Insya-Allah,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Abd Muhaimin akan bertembung calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan MADANI, Dr Mohamad Yusri Bakir serta Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.





