PUTRAJAYA – Persatuan Klinik Fisioterapi Swasta Malaysia (PPCOA) menyarankan kerajaan bagi mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan kursus fisioterapi dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Presiden PPCOA, Datuk Dr Balwant Singh Bains berkata, menyepadukan kursus fisioterapi di dalam TVET dilihat tidak sesuai, susulan bidang itu telah berkembang menjadi profesion khusus yang memerlukan kelayakan ketat serta asas kukuh dalam mata pelajaran Sains, selaras dengan piawaian global.
Menurutnya, pihaknya menyambut baik dan menghargai inisiatif kerajaan bagi menangani kekurangan ahli fisioterapi di Malaysia, namun pendekatan yang diambil kerajaan ketika ini tidak akan memberi manfaat kepada kualiti profesion dan boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Fisioterapi bukan semata-mata kemahiran teknikal, ia adalah disiplin perubatan komprehensif yang melibatkan pemahaman anatomi manusia, fisiologi, dan patologi yang kompleks untuk menyediakan penjagaan pesakit yang berkesan.
“Sehubungan itu, PPCOA memohon kepada kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan untuk meletakkan fisioterapi di bawah program TVET,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Balwant berpandangan, kerajaan seharusnya mencari kaedah terbaik dalam mempertingkatkan program fisioterapi sedia ada dalam fakulti perubatan dan kesihatan.
“Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan ia boleh diakses dan dibiayai dengan secukupnya. Tindakan itu sekali gus akan mengekalkan tahap piawaian profesion yang tinggi.
“Perlunya berunding dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan sebarang perubahan kepada profesion fisioterapi,” katanya.
Semalam, Kerajaan mengumumkan akan mewujudkan kursus pensijilan fisioterapi dalam TVET bagi memenuhi keperluannya di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana nisbah seorang ahli fisioterapi adalah kepada 7,400 penduduk Malaysia berbanding negara maju seorang fisioterapi kepada 2,000 penduduk.
Katanya, langkah itu secara langsung akan menarik minat kepada generasi muda terhadap peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan, di samping mampu memenuhi keperluan pada kadar kependudukan negara.








