
KUANTAN – Penganjuran program Moh Selawat oleh Menara Kuantan 188 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bakal membuka lembaran baharu dalam sub sektor pelancongan di negeri ini.
Ia sekaligus dapat memberi pilihan kepada pelancong memilih Kuantan sebagai destinasi pelancongan Islamik yang bersesuaian untuk seisi keluarga.
Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Rizzal Mohd Ali berkata, cadangan pihak Menara Kuantan 188 untuk menganjurkan program Moh Selawat itu juga mendapat sokongan penuh daripada JAIP dan kerajaan negeri.
“Kita melihat kepada ruang dan potensi yang ada di Kuantan dalam menjayakan program berbentuk keagamaan.
“Jadi, apabila pihak pengurusan Menara Kuantan 188 menyatakan hasrat menganjurkan program ini, memang kita sambut baik.
“Pengunjung boleh ke menara bagi mengikuti pelbagai acara disediakan dan seterusnya boleh singgah ke Masjid Negeri untuk melihat sendiri apa yang kita tawarkan kepada pelancong,” katanya ketika sidang media sempena penganjuran Moh Selawat di sini.
Sementara itu, Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman memaklumkan, program Moh Selawat bermula 13 hingga 16 September menawarkan pelbagai pengalaman menarik kepada pengunjung.
“Bersesuaian dengan musim cuti sekolah, jadi kita sediakan banyak program yang boleh disertai bersama oleh semua ahli keluarga.
“Ada aktiviti memanah, wayang pacak, perpustakaan bergerak serta gerai jualan,” katanya.
Selain itu, Khalisa berkata, terdapat juga ruang pameran warisan dan sejarah serta pertandingan yang boleh disertai pengunjung.
“Kemuncak program adalah Malam Kuantan 188 Berselawat dan ceramah bersempena Maulidur Rasul pada malam 16 September,” katanya.