
PORTUGAL secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, demikian diumumkan Menteri Luar, Paulo Rangel di New York, semalam.
Pengumuman itu dibuat di Misi Tetap Portugal ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dilaporkan oleh penyiar negara, RTP, menurut Anadolu.
Menurut Rangel, keputusan bersejarah itu adalah hasil daripada mesyuarat Majlis Menteri pada 18 September lalu, selepas melalui proses perundingan yang turut mendapat persetujuan Presiden Republik dan sebahagian besar parti politik yang mempunyai kerusi di Parlimen.
Beliau dalam masa sama menggesa pembebasan semua tebusan, penghentian segera semua bentuk permusuhan serta pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Sementara itu, Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan kerajaan mengiktiraf Palestin.
Langkah Portugal itu diumumkan hanya beberapa jam selepas United Kingdom (UK), Kanada dan Australia turut mengisytiharkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin menjelang Perhimpunan Agung PBB.
Terdahulu, Perancis, Luxembourg dan Malta juga memaklumkan rancangan untuk membuat pengiktirafan yang sama pada persidangan PBB minggu depan.







