KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita tiga kenderaan termasuk sebuah kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS yang dianggarkan bernilai RM1 juta dalam tiga operasi berasingan di Perlis, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, ketiga-tiga kenderaan itu disita kerana melanggar syarat pengecualian duti kastam di bawah Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
“Operasi pertama dilakukan pada pukul 1 petang, 26 September lalu apabila sepasukan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Mazda 2.0 Sedan SkyActiv bernombor pendaftaran pulau bebas cukai di Pejabat Kastam Kuala Perlis.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu berada di Kawasan Utama Kastam (KUK) melebihi 90 hari tanpa kebenaran pegawai kanan kastam.
“Kenderaan itu dianggarkan bernilai RM50,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM78,500,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ismail, operasi kedua dilakukan pada pukul 3 petang hari yang sama dan JKDM menyita sebuah Toyota Camry bernilai RM55,000 selepas didapati melanggar syarat pengecualian duti kastam.
Katanya, kereta itu disyaki berada di KUK melebihi 90 hari tanpa kebenaran dan melibatkan cukai sebanyak RM86,570.
Sementara itu, dalam operasi ketiga yang dijalankan pada pukul 6.20 petang, 1 Oktober lalu, JKDM menyita sebuah kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS di Kompleks JKDM Perlis setelah mendapati kenderaan itu melanggar syarat pengecualian duti kastam kerana berada di KUK melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Kenderaan ini dianggarkan bernilai RM1 juta dan melibatkan cukai sebanyak RM1,931,500. Seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Ismail turut mengingatkan pemilik kenderaan berdaftar di pulau bebas cukai agar mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM50,000, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.






