PENYATUAN Melayu dan Islam yang hangat dibincangkan mungkin sesuai dalam politik nasional mahupun di Semenanjung Malaysia, namun situasi di Sabah adalah berbeza, khususnya dalam konteks kepartian.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berpandangan, pendekatan politik itu dilihat mempunyai latar sejarah tersendiri di Semenanjung, tetapi jika dibawa ke Sabah tanpa kefahaman yang betul, ia boleh mengganggu keharmonian masyarakat negeri itu.
“Apabila kita melihat perkembangan politik di Kuala Lumpur, kadang-kadang kita berasa bimbang. Politik yang terlalu ditekankan atas dasar kaum dan agama boleh mewujudkan perpecahan.
“Bagi orang Sabah, pendekatan sebegini tidak membantu menyatukan perbezaan kita, malah boleh merenggangkannya,” katanya menerusi Facebook miliknya, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, negeri itu dibina atas asas masyarakat majmuk yang mana bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam, Cina dan kaum-kaum lain telah lama hidup bersama.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah memaklumkan, kestabilan Sabah bergantung pada keseimbangan dan sikap saling menghormati, bukan pada dominasi satu kelompok.
“Sebab itu Sabah perlu berhati-hati. Kita mesti melindungi keharmonian masyarakat kita daripada arus politik yang tidak selari dengan realiti Sabah.
“Politik di Sabah berasaskan tiga perkara iaitu autonomi, pembangunan dan akomodasi iaitu mempertahankan hak Sabah, memajukan ekonomi rakyat dan mengurus kepelbagaian dengan matang,” katanya.
Tambah beliau, dalam politik kepartian, perbezaan adalah perkara biasa dan semua pihak boleh bersaing semasa pilihan raya.
“Namun, selepas pilihan raya, semua pihak kembali duduk semeja, dengan kestabilan negeri mesti diutamakan. Kita mungkin berbeza pendekatan, tetapi tanggungjawab kita sama, menjaga keharmonian Sabah dan masa depannya,” katanya.






