
TAWAU – Polis menahan seoramg lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 3,085.64 gram bernilai RM105,000 di kawasan jalan masuk Indrasabah ‘Fishing Paradise’, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 30-an itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas dikesan mencurigakan sebaik mencampak sebuah beg berwarna kelabu bertulis ‘One Stop’.
“Pemeriksaan terhadap beg berkenaan menemui tiga bungkusan teh bertulis ‘Guanyinwang’ berwarna hijau masing-masing mengandungi paket lut sinar berisi syabu.
“Manakala saringan air kencing suspek mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, pada Rabu.

Menurut Jasmin, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain pihaknya giat mengesan rangkaian pengedaran dadah di daerah ini.





